Tips Elak Kena Tipu Apabila Membeli Barangan Online
Tips Elak Kena Tipu Apabila Membeli Barangan Online
Sekarang ni memang ramai yang gemar membeli belah secara atas talian.
Mudah dan cepat. Tak perlu nak melalui kesesakan jalan raya. Hanya
pilih barang yang nak dibeli, buat pembayaran dan tunggu barang sampai
ke rumah. Semuanya di hujung jari.
Mungkin kerana terlalu ramai yang memilih untuk membeli barangan
secara online, muncul pula individu yang cuba mengambil kesempatan.
Bukan semua peniaga online tak boleh dipercayai, tetapi ada segelintir
yang telah mencemarkan nama perniagaan online. Mereka sengaja
memperdayakan pembeli dan akhirnya selepas bayaran dibuat, mereka akan
menghilangkan diri.
Kerana wujudnya golongan seperti ini, peniaga yang jujur pun
kadangkala terkena tempiasnya. Ramai pengguna laman sosial yang mula
was-was untuk membuat pembelian online. Takut sekiranya mereka turut
menjadi mangsa peniaga yang tidak jujur.
1) Selidik Dulu Laman Web Jualan – Jika anda
berminat untuk membeli secara online dari peniaga yang anda kenali dari
laman sosial, pantau dahulu profil peniaga tersebut. Cari alamat laman
web, kunjungi laman web tersebut. Baca komen dan teliti setiap artikel
yang dikongsikannya. Jika anda rasa was-was kerana banyak komen negatif
ataupun laman web jualannya seperti kosong dan tidak dikemaskini,
eloklah anda elak dari membuat pembelian.
2) Ambil Kesempatan Menghubungi Peniaga Sebelum Membuat Pembelian
– Selalunya peniaga yang menjual barang secara online akan meletakkan
nombor telefon untuk dihubungi. Jadi sebelum membuat pembelian atas
talian, pastikan anda hubungi dahulu peniaga tersebut. Selepas itu anda
boleh perhatikan caranya memberi maklumbalas, cepat dan efisyen ataupun
anda perlu menunggu lama sebelum mendapat respon. Tanya beberapa soalan
tentang barang yang ingin anda beli dan teliti cara dia memberi
penjelasan.
3) Cuba Dapatkan Pandangan Dari Pembeli Yang Lain –
Jika anda betul-betul berminat untuk membeli sesuatu dari peniaga
online, terlebih dahulu anda boleh bertanyakan pada pembeli yang lain
atau dari rakan-rakan anda tentang pengalaman mereka membeli belah dari
peniaga tersebut.
4) Lawat Fanpage Jualan – Selalunya peniaga online
akan mempunyai fanpage mereka sendiri, paling tidak pun mereka akan
berkongsi tentang barangan jualan di Facebook atau instagram peribadi
mereka. Jadi anda boleh buat pemerhatian di situ. Peniaga online
selalunya aktif memuat naik status baru sambil membuat promosi barang
jualan. Sekiranya Facebook atau fanpage mereka nampak seperti langsung
tidak aktif, eloklah anda fikir banyak kali sebelum membeli.
5) Luangkan Masa Baca Testimoni – Peniaga online
juga gemar berkongsi testimoni atau maklum balas dari pembeli yang telah
membeli dari mereka sebelum ini. Perhatikan setiap testimoni yang
dikongsikan. Rajinkan juga jari untuk mencari di Google, sebab mungkin
ada yang berkongsi tentang pengalaman membeli dari peniaga tersebut.
6) Berhati-hati Dengan Tawaran Harga Promosi Yang Tidak Masuk Akal – Kadang kala ada juga peniaga yang menjual barangan tiruan. Mereka
akan menawarkan harga yang sangat murah untuk memperdaya pembeli. Kaji
dulu barang yang ingin anda beli terutamanya produk kesihatan dan
kecantikan.
7) Pastikan Ada Bukti – Bila anda membuat pembelian
dengan mana-mana peniaga online, pastikan anda simpan setiap rekod
komunikasi antara anda dan peniaga tersebut. Simpan juga bukti
pembayaran. Semua ini boleh dijadikan bukti sekiranya peniaga tersebut
tidak jujur. Anda boleh membuat laporan jika anda ditipu dan semua rekod
yang anda simpan itu boleh dijadikan bahan bukti.
Post a Comment